Polis mengesahkan seorang daripada penumpang yang menaiki pesawat
MH370 dengan menggunakan pasport palsu adalah warga Iran yang bercadang
untuk berhijrah ke Jerman, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar.
Beliau mendedahkan identiti lelaki itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19 tahun.
“Kita telah semak latar belakangnya. Kita juga telah semak
profilnya dengan pihak polis di negara lain dan kita percaya dia tidak
mungkin anggota mana-mana kumpulan pengganas,” kata Khalid.
Pouria Nour menggunakan pasport Austria milik Christian Kozel yang disahkan dicuri di Phuket, Thailand.
Pengumuman Khalid ini selari dengan penemuan siasatan polis di Thailand yang mendapati dua penumpang MH370 dengan pasport curi itu mungkin pelarian yang mencari suaka.
Ia berdasarkan kepada tempahan tiket harga paling murah dan laluan
transit di Beijing dan Amsterdam sebelum menuju destinasi akhir. Seorang
penumpang menempah destinasi akhir ke Copenhagen, Denmark manakala
seorang lagi ke Frankfurt, Jerman.
Mereka dibantu oleh dua warga Iran yang menguruskan tempahan tiket
daripada sebuah agensi pelancongan yang sudah dilanggani oleh orang
tengah itu sejak tiga tahun lalu.
“Berdasarkan kepada tempahan tiket saja, sekiranya keganasan, mereka
tentunya mengkhususkan laluan dan pesawat yang hendak dinaiki,” kata
Ketua Polis Pattaya, Supachai Puikaewcome seperti dipetik oleh Reuters
pada Selasa.
0 comments:
Catat Ulasan