PETALING JAYA – Penduduk Kuda Huvadhoo di Dhaal Atoll di Maldives
dilaporkan melihat sebuah “pesawat jumbo terbang rendah” di atas rumah
mereka pada awal pagi 8 Mac, hari yang sama Malaysia Airlines
penerbangan MH370 hilang.
Dalam satu laporan oleh akhbar harian Maldives iaitu Haveeru,
penduduk menjelaskan bahawa pesawat itu terbang di Kuda Huvadhoo
kira-kira pukul 6.15 pagi dengan menggambarkan ia berwarna putih dengan
jalur merah.
Skim warna itu adalah hampir sama dengan yang digunakan oleh pesawat
Malaysia Airlines termasuk Boeing 777 untuk penerbangan MH370.
Saksi-saksi yang melihat pesawat itu bersetuju bahawa ia membuat
penerbangan dari utara sehingga ke tenggara ke arah Addu, di selatan
Maldives, dan kesemua mereka memberi komen mengenai bunyi kuat dari
pesawat itu apabila terbang melintasi pulau itu.
Salah seorang saksi dapat melihat pintu pesawat dengan jelas, malah ia turut dipersetuji oleh seorang saksi lain.
“Ada yang keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang
menyebabkan bunyi bising yang kuat,” kata saksi, dan dilaporkan bahawa
Anggota Majlis pulau itu, Mohamed Zaheem mengatakan bahawa penduduk lain
di Kuda Huvadhoo turut bercakap mengenai kejadian itu.
Haveeru turut memetik seorang pakar penerbangan tempatan, yang
berkata ia mungkin pesawat MH370 yang diterbangkan sehingga ke Maldives,
sambil menambah bahawa kemungkinan sebarang pesawat terbang di atas
pulau itu adalah sangat rendah.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal , berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing
pada 8 Mac, mendapat perhatian antarabangsa sejak kehilangannya pada
awal pagi hari yang sama.
0 comments:
Catat Ulasan