KUALA LUMPUR – Urusan perjalanan dua individu yang menaiki pesawat
MH370 berlepas ke Beijing menggunakan identiti palsu dilakukan di pusat
peranginan Pattaya dan dibayar secara tunai, menurut sebuah laporan.
Akhbar British, Financial Times memetik ejen pelancongan Thai yang
menempah tiket untuk kedua-dua lelaki itu berkata dia diminta untuk
menguruskan perjalanan oleh seorang kenalan warga Iran.
Benjaporn Krutnait, pemilik agensi pelancongan Grand Horizon
di Pattaya dipetik sebagai berkata, warga Iran yang juga kenalan
perniagaannya yang hanya dikenali sebagai ‘Mr Ali’ memintanya untuk
menempah tiket pada harga murah ke Eropah untuk dua lelaki itu pada 1
Mac.
Benjaporn pada mulanya menempah tiket untuk salah seorang
lelaki itu menggunakan penerbangan Qatar Airways dan seorang lagi dengan
penerbangan Etihad.
Namun, tiket tersebut tamat tempoh apabila Benjaporn tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Ali.
Ketika lelaki tersebut menghubunginya semula pada Selasa, Benjaporn
menempah semula tiket menggunakan pesawat Malaysia Airlines menghala ke
Beijing kerana ia tiket yang murah ketika itu.
Seorang rakan Ali membayar wang tunai kepada Benjaporn sebagai bayaran tiket tersebut.
Akhbar tersebut turut melaporkan tiada bukti sama ada Ali mengetahui dua lelaki tersebut menggunakan pasport curi.
Benjaporn berkata dia tidak percaya Ali ada kaitan dengan keganasan
kerana dia tidak menyatakan penerbangan khusus Kuala Lumpur-Beijing
tetapi meminta penerbangan murah ke Eropah, lapor akhbar itu.
Benjaporn dipetik sebagai berkata beliau mendedahkan perkara itu
kerana prihatin mengenai spekulasi serangan pengganas dan mahu ia
diketahui umum. -mynewshub
0 comments:
Catat Ulasan