Artikel Dari Guablog

Khamis, 20 Mac 2014

Pesawat MH370: ‘Ibarat Cari Sebatang Jarum Dalam Timbunan Jerami’

| | Leave a Comment



SYDNEY – Pihak berkuasa Australia dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan semalam bahawa mereka mula mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di kawasan seluas 600,000 kilometer (KM) persegi di Lautan Hindi.

Namun, pihak berkuasa Australia dan AS mengakui pencarian pesawat MH370 tersebut amat sukar ibarat mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia mendedahkan bahawa ia percaya pesawat Boeing 777-200 itu sengaja dilencongkan dan terbang selama beberapa jam selepas keluar dari laluan asalnya sama ada menuju ke Asia Tengah di utara atau Lautan Hindi di selatan.

Pihak berkuasa di Kuala Lumpur kelmarin meminta Canberra memikul tanggungjawab mencari pesawat yang hilang pada 8 Mac lalu itu di koridor selatan dengan dibantu sejumlah pesawat AS dan New Zealand.

Susulan permintaan tersebut, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah memulakan operasi mencari pesawat itu di kawasan seluas 3,000 km di barat daya Perth.

“AMSA mengklasifikasi sebuah kawasan pencarian berpotensi berdasarkan pelbagai sumber tempatan dan antarabangsa.

“Operasi mencari ini sukar. Kawasan yang amat luas meliputi 600,000 km persegi memberikan cabaran besar buat kami,” kata pengurus besar AMSA, John Young.

Menurut Young, AMSA dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk melakukan operasi mencari secara menyeluruh di kawasan berkenaan.

Zon pencarian tersebut dipilih berdasarkan data satelit dan radar tentera yang diterima daripada pesawat yang membawa 239 penumpang serta anak kapal tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pesawat peninjau jarak jauh P-8 Poseidon dan P-3 Orion daripada Armada Ke-7 Tentera Laut AS turut terlibat dalam operasi besar-besaran itu

Sumber: mynewshub

0 comments:

Catat Ulasan

Artikel Dari Salam

Artikel Dari PingJE