JABATAN Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) mengingatkan umat Islam agar
tidak mengabaikan syariat Islam dalam aspek sembelihan haiwan yang
berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
Dalam khutbah Jumaat hari ini, khatib mengingatkan hadirin supaya
lebih cakna dalam aspek penyembelihan haiwan seperti memastikan pusat
sembelihan dalam keadaan bersih dan penyembelihnya beragama Islam.
“Sedarlah, pelbagai penipuan kadang kala dilakukan oleh sesetengah
pengusaha ayam dan daging apabila mereka sanggup mengupah pekerja asing
yang bukan beragama Islam untuk menyembelih.
“Realitinya kitalah sebagai pengguna sering tertipu oleh mereka.
Justeru, carilah pembekal yang mempunyai sijil halal dan mempunyai
penyembelih bertauliah. Ingatlah bahawa sembelihan orang kafir itu
adalah haram dimakan,” katanya melalui khutbah Jumaat hari ini bertajuk
“Sembelihan Halal”.
Media melaporkan pada hujung bulan lalu, pemeriksaan Jabatan Agama
Islam Kedah (Jaik) mendapati tiga pekerja pusat penyembelihan ayam di
negeri itu tidak mematuhi standard halal yang melibatkan aspek
menyembelih dan memproses ayam.
Pemeriksaan Jaik mendapati kebanyakan pusat penyembelihan memendekkan
tempoh pendarahan ayam yang disembelih dengan segera memasukkan ayam
berkenaan ke dalam air panas sebaik saja selepas disembelih untuk
diproses.
Jawi berkata, syarat sembelihan yang digariskan ialah penyembelih itu
mesti beragama Islam atau ahli kitab, berakal, baligh, tidak dalam
keadaan berihram dan dimulai dengan bacaan bismillah ketika menyembelih.
Katanya, haiwan yang hendak disembelih juga mesti dipastikan daripada
jenis yang halal dimakan iaitu bukan haiwan bertaring, berkuku tajam,
beracun, bangkai dan sebagainya.
“Sebagai pengguna Islam, perhatikan dahulu leher ayam tersebut untuk
memastikan kita tidak terbeli ayam yang disembelih tetapi hukumnya
bangkai. Ada yang tidak memutuskan urat halkum dan marih dengan sempurna
bahkan mereka memutuskan urat tersebut selepas ayam itu mati.
![]() |
Sembelihan cara Islam |
![]() |
makanan-halal-haram |
“Selidik terlebih dahulu tempat penyembelihan haiwan atau pusat
pemprosesan. Ini bagi memastikan tidak ada percampuran di antara haiwan
yang halal dan haram seperti khinzir,” katanya.
Khatib berkata, memandang remeh dalam aspek penyembelihan mendekatkan
diri kepada dosa dan umat Islam diseru supaya membebaskan diri daripada
perkara syubhah.
Katanya, makanan yang bersih dan halal mendekatkan diri kita kepada rahmat Allah untuk beroleh taufik dan hidayah-Nya.
“Kadang kala kita memandang remeh terhadap perkara ini sehingga
terbeli haiwan sembelihan yang syubhah. Bukankah syubhah itu lebih
hampir kepada haram? Inilah masanya, umat Islam meletakkan keutamaan
mencari makanan bebas syubhah.
“Ingatlah pemakanan yang tidak halal pasti akan memberi kesan kepada
diri sendiri. Bayangkanlah, hidup orang yang memakan makanan haram pasti
tidak akan tenteram, setiap amal soleh tidak terima Allah dan doanya
juga tidak dimakbulkan,” katanya.
Jawi berkata, Rasulullah pernah bersabda diriwayatkan oleh Imam
al-Baihaqi bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram,
maka api neraka yang layak baginya.”
Katanya, makanan halal di sisi syarak adalah makanan bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas kemudaratan.
“Sebaliknya sesuatu makanan yang haram sekalipun lazat rasanya, harum
baunya tetap keji di sisi Allah. Sesungguhnya orang yang bertakwa itu
sentiasa mencari yang halal dan menjauhi setiap yang haram serta
syubhah.
“Islam tidak hanya memandang kebaikan sembelihan halal dari sudut
fizikal sahaja, malah Islam menterjemahkan sembelihan halal sebagai
pengundang keberkatan dalam kehidupan di dunia serta penyelamat di hari
kiamat,” katanya. – TheMalaysianInsider
Sumber: mynewshub
kenapa tak di dedahkan nama pusat penyembelihan itu supaya kita tak membelinya. saolah2 jawi tak ikhlas
BalasPadam