AP melaporkan kerajaan Malaysia mengesahkan pesawat MH370 yang hilang sejak minggu lalu dirampas. Gambar fail oleh Reuters, 15 Mac, 2014. |
Pesawat Malaysia Airlines MH370 dirampas, menurut laporan agensi AP.
AP melaporkan seorang jurucakap kerajaan Malaysia berkata, rampasan itu
bukan setakat teori lagi tetapi ia mencapai tahap 'konklusif'.

Bagaimanapun, setakat ini, motifnya belum diketahui dan lokasi di mana pesawat itu berada belum diketahui dengan jelas.
Sementara itu, AFP memetik seorang pegawai kanan tentera Malaysia
sebagai berkata, penyiasat percaya pesawat itu dirampas dan dipandu oleh
seorang yang "mahir, cekap" yang memandunya beberapa jam.
"Ia mesti seorang yang mahir, cekap dan seorang juruterbang semasa," kata pegawai itu.
"Dia tahu bagaimana untuk mengelakkan radar awam. Dia nampaknya sudah mengkaji bagaimana untuk mengelakkan radar,” katanya.
Bagaimanapun, akhbar British The Daily Telegraph melaporkan Ketua
Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman,
menafikan pesawat itu dirampas.
"Ia belum sah. Saya mengetuai siasatan ini dan tiada siapa yang
mengatakannya. Ia tidak benar. Kami meninjau pelbagai kemungkinan, kita
melihat semua kemungkinan. Kami melakukan profil setiap penumpang dan
anak kapal tetapi tidak ada bukti yang sahih setakat ini," katanya
kepada Telegraph.
Perkembangan baru mengejutkan ini datang selepas seminggu operasi
mencari dan menyelamat besar-besaran kehilangan kapal terbang yang
membawa 239 penumpang itu selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing.
Sementara itu, Bloomberg melaporkan pesawat yang hilang itu dikesan ke
Lautan Hindi di luar pantai Australia, memetik kenyataan seorang
penganalisis.
Menurut laporan itu, laluan dari Malaysia ke laut di luar pantai
Australia akan melalui perjalanan sejauh 3,000 batu - jarak maksimum
MH370 boleh diterbangkan dengan bahan api yang ada.
Bloomberg juga melaporkan penyiasat mendapati seseorang di dalam kokpit
MH370 memprogramkan pesawat itu untuk berpaling dari jalan asalnya ke
Beijing, kata sumber daripada kerajaan Amerika Syarikat yang biasa
dengan penyiasatan itu.
Laporan itu memetik jurucakap Awam Pihak Berkuasa Keselamatan
Penerbangan Australia, Peter Gibson, sebagai berkata dia tidak sedar
maklumat baru yang meletakkan MH370 berhampiran Perth.
Bagaimanapun, katanya, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia
mempunyai bidang kuasa untuk membuat penggeledahan jika maklumat itu
benar.
Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan
mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar dijangka diadakan pada jam
1.30 petang ni di Hotel Sama-Sama, KLIA selepas mengadakan pertemuan
dengan keluarga penumpang pesawat MH370.
Difahamkan, Najib hanya akan membacakan satu kenyataan dan tidak akan
menjawab sebarang soalan daripada media, lapor Sinar Harian Online.
The Star Online melaporkan, sebahagian ahli keluarga di Hotel The
Everly Putrajaya mula berkumpul di depan dua televisyen di lobi hotel
dan kelihatan gelisah tetapi kebanyakannya masih mampu mengawal
perasaan.
0 comments:
Catat Ulasan