KOTA KINABALU – Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang
kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun daripada diculik oleh individu
tidak dikenali di kawasan meletak kereta Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina)
Chung Hwa Likas, awal hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata dalam
kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu kanak-kanak yang sedang tidur di
dalam kereta milik ibunya dilarikan sejauh kira-kira enam kilometer oleh
penjenayah sebelum ditemui ditinggalkan di kawasan Asia City sejam
kemudian.
“Kami sedang mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana
kamera litar tertutup di kawasan Asia City yang berjaya mengesan
kenderaan itu dan percaya kes itu adalah cubaan menyamun kereta,”
katanya.
Chandra berkata pihaknya sedang menyiasat penglibatan lebih daripada
seorang suspek melarikan kereta itu dan orang ramai yang menyaksikan
kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis.
“Kanak-kanak itu bernasib baik kerana sepanjang kenderaan ibunya
dilarikan dia sedang tidur dan jika sebaliknya pasti kejadian ini akan
membawa kesan trauma ke atas dirinya,” katanya.
Difahamkan ibu mangsa yang berusia 40-an dikenali sebagai Chung
meletakkan kereta jenis Toyota Vios dengan enjinnya dibiarkan hidup
ketika singgah membeli makanan sebelum beberapa minit kemudian
kanak-kanak itu hilang bersama kenderaan itu. – BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan