Bacalah kisah
berikut untuk renungan anak cucu dan remaja sekelian. Semoga semuanya
menjadi orang yang beruntung seperti si gadis di dalam kisah ini:
Saya ingin
bercerita mengenai kisah adik saya, Aliya (bukan nama sebenar), seorang
gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan
seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah
lakunya benar-benar membimbangkan ibu. Dia sering membawa teman-teman
lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang
tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.
Bagi mengelakkan
pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik memakai tudung.
Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku
pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa,
adik berkata dengan suara yang agak keras, ”Cuba mama tengok,
jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya
sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan Aliya kat
sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend
diorang, pegang-pegang tangan. Liya ni, walaupun tak pakai tudung, tak
pernah buat macam tu!”
Ibu hanya mampu mengeluh mendengar
kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam.
Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya ” Ya Allah, kenalkan Aliya
dengan hukum-Mu”.
Pada satu hari, ada jiran yang baru pindah
berhampiran rumah kami. Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak
yang masih kecil. Suaminya bernama Abu Khoiri, (nama sebenarnya siapa,
tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid. Setelah
beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus
mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada
yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.
Perkara ini telah
sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, “Abang, betul ke
orang yang baru pindah itu, isterinya buta,bisu dan tuli?”. Lalu saya
menjawab sambil lewa, “Kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya
sendiri”.
Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan
benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka,
saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah
adik. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah
apa yang dah berlaku? Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu
buatkan tudung.
Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh.
Lengan panjang pula tu. Saya sendiri jadi bingung. Bingung bercampur
syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib. Ya,
saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi
anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya
untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah. Saya lihat, dia
banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli
majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri.
Tak ketinggalan tahajudnya, bacaan Qur’annya, solat sunatnya dan yang
lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan
pandangan. Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya. Tidak
lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di Kalimantan,
kerja di satu perusahaan minyak - CALTEX. Dua bulan setelah saya bekerja
di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu
memanggil saya pulang ke kampung. Dalam perjalanan, saya tak henti-henti
berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang
mampu saya usahakan.
Ketika saya sampai di rumah, di depan
pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya
berlari masuk ke dalam rumah. Saya lihat ibu menangis. Saya segera
menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu,
“Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah di akhir hidupnya”. Air
mata ini tak dapat ditahan lagi!!
Setelah selesai upacara
pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di
atas mejanya terletak sebuah diari. Diari yang selalu adik tulis. Diari
tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya.
Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada
satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di
hati ini – Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu
Khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami
itu.
Butirannya seperti ini: Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)
Aliya: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!
Isteri jiranku : Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.
Aliya : Tapi, mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.
Isteri
jiranku : Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan
bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?
Aliya
: Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung,
tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak
pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita
yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai.
Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik
bagaimana?
Isteri jiranku : Aliya, sesungguhnya Allah SWT
menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga
hujung kaki. Segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan
mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT
nanti. Tudung adalah salah satu perlindungan untuk wanita!
Aliya : Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.
Isteri jiranku : Tudung hanyalah kain, tapi hakikat atau makna di sebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.
Aliya : Apakah hakikat tudung?
Isteri
jiranku : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata
kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu
dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. Sentiasalah
lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari
mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun
masyarakat, lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk,
lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh,
lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu
dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu
kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT. Bila kamu sudah
biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah
hakikat tudung.
Aliya : Mak cik, sekarang saya sudah jelas
tentang erti tudung. Mudah-mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam
mana saya nak buat semua tu?
Isteri jiranku : Duhai Aliya, bila
kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah
SWT yang Maha Pemberi Rahmat. Bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan
diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga
mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT. Duhai Aliya, ingatlah
akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup
sangkakala yang kedua.
Pada saat roh-roh manusia seperti
anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada
batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun
tumbuhan. Ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun
keadaan gelap gelita. Ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak
mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara
tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi
musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada
di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan
masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada
yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya
akibat peluh yang banyak, dan bermacam-macam rupa-rupa bentuk manusia
yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta
ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang
berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis.
Menangis kerana
hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan
sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT di
Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan.
Hari itulah dipanggil hari Hisab. Duhai Aliya, bila kita tidak berusaha
untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab
bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha
Kuat , Yang Maha Agung, Allah SWT.
Sampai di sini sahaja kisah
itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak
titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya. Subhanallah! Saya selak
halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil di bawah
tulisan itu “buta ,tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat
lelaki selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara
yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara
ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia-sia” Tak tahan
airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku di sisiNya.Amin.
Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam. (SUMBER INTERNET)
0 comments:
Catat Ulasan