(Artikel
ini ditulis pada tahun 2007, adapun di ketika Yahudi Israel menyerang
Palestin dengan kejam hari ini, tindakan boikot adalah amat wajar
dilakukan- uzar pada 9 Jan 09)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Begitu
banyak soalan yang datang kepada saya dan kedengaran di sana sini
berkenaan hukum membeli barangan halal yang dikeluarkan oleh syarikat
Yahudi khususnya dan bukan Islam umumnya. Ia menjadi satu persoalan yang
semakin hangat disebabkan sikap Yahudi yang berterusan menyerang negara
umat Islam. Demikian juga Amerika.
Saya ada
terbaca kempen dari orang awam dan beberapa ilmuan yang mewarwarkan
hukum haram jika membeli barangan dari syarikat yang dimiliki oleh
Yahudi sepenuhnya atau salah seorang pemilik syarikat tersebut adalah
Yahudi.
Akibatnya
timbul kempen memboikot syarikat-syarikat tertentu dan boikot yang
disebarkan melalui email dan internet. Syarikat seperti McDonald,
Kentucky Fried Chickhen, TESCO dan lain-lain syarikat yang dikatakan
dimiliki oleh Amerika, Yahudi atau mempunyai hubungan dengan mereka
secara langsung atau tidak langsung adalah syarikat yang kerap dijadikan
bahan utama.
Tidak
terkecuali juga beberapa buah syarikat yang dimiliki oleh bukan Islam
seperti Maxis dan lain-lain. Saya juga pernah membaca dan mendengar ada
yang berusaha menimbulkan semangat berkobar-kobar sehingga berkata
bahawa sesiapa yang membeli dan menggunakan khidmat syarikat-syarikat
ini maka samalah seperti membantu agama mereka, membunuh umat Islam dan
banyak lagi. Adakah ini benar dari sudut pandangan Islam?.
Saya
berharap tulisan ringkas saya ini dapat menjelaskan keadaan dan ia
adalah berdasarkan pandangan beberapa nas dan pandangan ulama
kontemporari. Saya tidak berhasrat untuk menulis panjang dan tulisan ini
bukanlah sebuah kajian ilmiah bertaraf univeristi. Ia hanya jawapan
yang diringkas dan dipermudahkan bagi bacaan orang awam sahaja. Saya
juga tiada sebarang kepentingan dalam semua syarikat yang disebutkan
namanya di atas dan yang lainnya, tulisan ini adalah dibuat atas dasar
penyebaran ilmu Islam di atas landasan ilmu sahaja.
Asas Hukum
Pertamanya,
elok kiranya saya cuba menjelaskan hukum berjual beli dengan orang
Yahudi atau dengan mana-mana syarikat yang dimiliki oleh individu
Yahudi. Bagi mendapatkan kejelasan dalam isu ini, fakta berikut perlu
difahami sebaiknya:-
a) Allah SWT menghalalkan umat Islam memakan sembelihan ahli kitab yang di antara mereka adalah Yahudi. Ini bermakna berurusan dengan Yahudi dan barangan yang dihasilkannya selagi menepati kehendak Allah adalah diharuskan.
b) Allah
SWT juga menghalalkan lelaki Islam untuk berkahwin dengan wanita Ahli
Kitab yang suci dan baik dengan syarat ia bertujuan kebaikan kepada
wanita tersebut. Perihal halal berkahwin dan makan sembelihan ahli Kitab termasuk Yahudi ini disebut dengan jelas dalam ayat berikut : -
الْيَوْمَ
أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ
حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ
الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن
قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ
مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ
Ertinya : "Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan)
orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu
halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang
menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan
wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi
Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan
maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula)
menjadikannya gundik-gundik.." ( Al-Maidah : 5 )
Jika
perkahwinan dibenarkan, sudah tentu jual beli lebih lagi akan termasuk
dalam kategori dibenarkan oleh Islam (selagi mana menurut syarat jual
beli Islam).
c) Nabi
Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan
dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-
أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Ertinya
: "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan
pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" (
Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Imam Bukhari menamakan bab yang mengandungi hadith ini dengan nama
بَاب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ
Ertinya : Bab berjual beli dengan kafir musyrikin dan musuh perang.
Kemudian Imam Ibn Hajar Al-Asqolani pula dalam huraiannya menyatakan :-
واستدل به على جواز بيع السلاح من الكافر
Ertinya : Dan dalil ini dijadikan dalil bagi keharusan MEMBELI senjata dari orang kafir. ( Fath Al-Bari, Ibn Hajar, 5/142 )
Ini
adalah kerana apabila Nabi Muhammad SAW mencagarkan baju besi baginda
yang hanya digunakan untuk berperang, ini membuktikan hukum berjual beli
dengan bukan Islam termasuk Yahudi adalah harus selagi mana cara aqad
dan urusniaganya bertepatan dengan kehendak Islam. Hadis ini boleh
dikatakan hujjah terkuat bagi membenarkan umat Islam membeli barangan
keperluan dari Yahudi hatta makanan dengan cara berhutang sekalipun.
Ijma ( Sepakat ) Keharusan
Manakala Imam An-Nawawi pula ketika mensyarahkan hadith yang sama menyatakan :-
فيه جواز معاملة أهل الذمة والحكم بثبوت املاكهم على مافي أيديهم ...وبه قال الشافعي ومالك وأبو حنيفة وأحمد والعلماء كافة
Ertinya
: hadith ini menunjukkan harusnya berurusan dengan ahli Zimmah ( kafir
yang bukan tentera yang berperang dengan Islam) dan hukum ini membawa
erti sabitnya pemilikan barangan itu oleh mereka...dan demikian ini
adalah pandangan Imam As-Syafie, Imam Malik dan Abu Hanifah serta Imam
Ahmad dan seluruh ulama" ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40 )
Imam An-Nawawi menyambung :
وأما
اشتراء النبي الطعام من اليهودي ورهنه عنده دون الصحابة فقيل فعله بيانا
لجواز ذلك وقيل لأنه لم يكن هناك طعام فاضل عن حاجة صاحبه الا عنده وقيل
لأن الصحابة لا يأخذون رهنه صلى الله عليه وسلم ولا يقبضون منه الثمن فعدل
إلى معاملة اليهودي لئلا يضيق على أحد من أصحابه
Ertinya
: Nabi membeli makanan dari Yahudi serta mencagarkan baju besinya dan
tidak dilakukan kepada sahabat adalah dikatakan sebagai tanda keharusan
melakukan demikian (berurusan dengan Yahudi dan bukan Islam walaupun
terdapat orang Islam), sebahagian ulama yang lain pula mengatakan (nabi
tidak beli dari sahabat) kerana mereka tiada makanan lebihan untuk
dijual kepada nabi, ada juga yang mengatakan para sahabat tidak menerima
cagaran Nabi serta tidak mahu menerima sebarang bayaran dari Nabi
sehingga menyebabkan Nabi berurusan (kerana tidak mahu menyusahkan
sahabatnya) dengan Yahudi agar tidak memberatkan sahabatnya. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
وقد
أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق
تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا
يستعينون به في اقامة دينهم.
Telah
ijma' atau sepakat seluruh umat islam keharusan urusan dengan ahli
zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh
dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual
senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh
juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka " ( Syarah Sohih
Muslim, An-Nawawi, 11/40)
Justeru,
telah ijma' berkenaan keharusan membeli dan menjual samada kepada
Yahudi, Nasrani (Kristian), Buddha, Hindu dan lain-lain selagi mana
mereka tidak terlibat secara langsung (dan rasmi) memerangi
Islam, transaksi pula dilakukan bertepatan dengan Islam. Di samping
hujah-hujah yang sohih di atas ia juga disokong lagi oleh sebuah hadis
dhoif iaitu :-
روى الخلال بإسناده عن عطاء قال نهى رسول الله عن مشاركة اليهودي والنصراني إلا أن يكون البيع والشراء بيد المسلم
Ertinya
: Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato' berkata :
Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya ditangan orang Islam
( menuruti Shariah)" ( Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' ,
Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal : Ahkam Ahli
Zimmah, 1/556 )
d) Para sahabat juga berurusan jual beli dengan orang kafir termasuk Yahudi.
Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang berurusan demikian, malah para
sahabat baginda lebih kerap melakukannya dimana mereka juga terbabit
dalam jual beli dengan Yahudi, Nasrani, Musyrik dan lain-lain. Sebagai
bukti adalah firman Allah :-
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ
يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا وَإِنْ
خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ
Ertinya
: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik
itu najis, maka janganlah mereka mendekati masjidilharam sesudah tahun
ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu dari karunia-Nya
Ayat
ini secara langsung memberikan kefahaman kepada kita bahawa para
sahabat Nabi sebelum Allah SWT melarang orang kafir dari memasuki
masjidil haram, mereka kerap dan cukup banyak berurusan samada jual atau
beli dari si kafir dan yahudi.
Ini disebutkan oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya :-
وكان
المسلمون لما منعوا المشركين من الموسم وهم كانوا يجلبون الأطعمة
والتجارات , قذف الشيطان في قلوبهم الخوف من الفقر وقالوا : من أين نعيش .
فوعدهم الله أن يغنيهم من فضله .
Ertinya
: Orang-orang Islam apabila Allah melarang orang Musryik dari masuk
(berniaga) pada musim perniagan sedangkan mereka dulu lah yang membawa
makanan dan pernigaaan, maka syaitan mulai melontarkan dalam hati umat
Islam takut dan bimbang mereka akan jatuh faqir, ( kerana tiada
pelanggan dan pembekal), sehingga ada antara mereka berkata : "
Bagaimana kami nak hidup" , tatkala itu Allah SWT menjanjikan kepada
mereka kurniaan rezeki dari sisiNya" ( Al-Jami' Li Ahkami Quran, 8/106 )
Imam Fakhruddin Ar-Razi pula menegaskan :
وحملوا الطعام إلى مكة وكفاهم الله الحاجة إلى مبايعة الكفار
Ertinya
: Orang-orang Islam dari Jeddah, Sana'a dan Hunain itu membawa makanan
ke Mekah (untuk dijual) dan Allah SWT mencukupkan mereka dengan jual
beli dengan orang Kafir" ( Tafsir Al-Kabir, Ar-Razi, 16/22 )
Hasilnya,
jelas bahawa para sahabat juga berurusniaga dengan orang kafir. Nabi
SAW juga masih hidup tatkala itu dan membiarkan urusan itu tanpa
sebarang larangan dan tegahan. Malah setelah kafir dikeluarkan dari
masjidil haram, para sahabat masih berniaga dengan mereka di sebelah
luar, bukti terjelas adalah tindakan Nabi SAW sendiri membeli makanan
dari Yahudi, Nabi juga wafat dalam keadaan hutangnya belum selesai
dengan Yahudi ini. Isu hutang Nabi ini dibincang panjang lebar oleh
ulama silam. Saya tidak berhasrat mengulasnya di sini.
Saya
kira kumpulan dalil dan huraian ringkas di atas sudah cukup untuk kita
mendapat kefahaman hukum berkaitan ursniaga dengan Yahudi, syarikat yang
dimiliki Yahudi atau lain-lain agama.
Agenda Boikot bagaimana?
Tidak
dinafikan sama sekali bahawa umat Islam perlu melakukan sesuatu jika
Yahudi atau lain-lainnya melakukan suatu jenayah dan kebiadapan terhadap
Islam. Benar, umat Islam perlu bersatu padu dan bergabung kekuatan bagi
memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang memulakan kejahatan
terhadap Islam. Saya juga tidak mahu melemahkan semangat kempen ini,
cuma orang ramai perlu tahu antara hukum dan keutamaan. Jangan nanti
jika ada di antara kita yang melihat rakan terlibat dengan mana-mana
syarikat tadi lalu dituduhnya kafir, munafiq, pembantu Yahudi dan
lain-lain.
Menurut
para ulama kontemporari, cara yang dikira aman di zaman ini adalah
dengan melakukan pemboikotan dari membeli barangan semua syarikat di
bawah telunjuk mereka. Justeru, ia adalah salah satu cara yang paling
berkesan buat orang awam islam di seluruh dunia.
Syeikh
Dr Yusof Al-Qaradawi menyatakan bahawa boikot seperti ini adalah
bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha dan peniaga yang
seangkatan dengan para penyerang agar mereka sendiri mendesak kerajaan
mereka kepada keamanan selain mereka akan membenci tindakan kerajaan dan
rakan seagama mereka yang melakukan kejahatan terhadap Islam.
Ia
juga dijangka dapat memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada negara
mereka sekaligus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan kejahatan
dan serangan terhadap Islam.
Walaubagaimanapun,
adakah perlu kita menjadikan seluruh Yahudi di seluruh dunia tanpa
mengira mereka membantu serangan atau tidak secara umum?. Atau
bagaimana?
Menurut
pendapat spontan saya, kita perlu membezakan di antara hukum dan
keutamaan (afdhaliyah). Secara mudahnya, hukum berurusan dengan mereka
sentaisa halal selagi mereka tidak terlibat secara langsung dengan
peperangan, cuma yang afdhalnya tidak berurusan tatkala Islam sedang
diserang oleh bangsa mereka. Bagi memahami hal ini, perkara berikut
perlu dilihat :-
1) Hukum
asal urusniaga dengan Non-Muslim termasuk Yahudi dan semua syarikatnya
adalah halal selagi transaksi yang dibuat menrut syarat jual beli Islam.
2) Kewujudan
syarikat-syarikat ini di negara Yahudi dan MoU perniagaannya di negara
Yahudi tidak boleh dianggap sebagai membantu kerja keganasan Yahudi. Justeru, sebarang pembuktian seperti ini tidak kuat untuk mensabitkan bantuan 'direct' kepada kerja jahat Yahudi atau lainnya.
3) Hukum asal ini hanya akan bertukar kepada haram berurusniaga atau wajib memboikot mereka jika :-
a- Pemerintah
Islam tertinggi iaitu Khalifah bagi seluruh dunia Islam mengarahkan
boikot demi mencapai maslahat tertentu untuk Islam. Ia adalah kerana
Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati pemerintah dalam hal
ehwal yang tidak bercanggah dengan Islam. Peirntah ini tercatat di dalam
Al-Quran. Hal ini dapat dilihat dalam tindakan Khalifah Umar al-Khattab
yang mengarahkan seorang sahabat agar menceraikan isterinya dari
kalangan Ahli Kitab dari negara Rome atas dasar 'maslahat' iaitu untuk
menjaga kepentingan wanita Muslimat di ketika itu. Tatkala itu, perkara harus tadi sudah menjadi larangan sementara waktu disebabkan arahan pimpinan Islam (Nizam Al-Usrah Fil Islam, Dr Uqlah)
Malangnya
di ketika tiadanya seorang khalifah yang bertanggung jawab bagi seluruh
umat islam, adalah sukar untuk menggunakan peruntukan kewajiban ini.
Sekadar fatwa ulama besar seperti Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi masih
tidak mampu menjadikan hukum boikot sebagai wajib buat setiap individu
umat Islam. Ia masih berada dalam lingkungan 'afdhal' atau 'elok' sahaja
dan tidak wajib untuk boikot dan tidak haram untuk terus berurusniaga.
Tiada Khalifah Islam
Di
waktu tiadanya khalifah tertinggi Islam, menurut Prof. Dr Syeikh
Muhammad 'Uqlah El-Ibrahim (Prof Fiqh di Jordan), tugas 'ulil amri' itu
jatuh kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing. Jika demikian,
Sultan, Perdana Menteri atau JAKIM adalah wakil urusan tersebut di
Malaysia, maka sekiranya ada di antara pihak ini menyatakan keperluan
boikot secara rasmi, tatkala itu adalah wajib ke atas setiap individu
umat Islam di malaysia untuk memboikotnya. Jika tidak, adalah sukar
didapati sebarang nas yang khusus lagi tepat cara pendalilannya bagi
menjatuhkan hukuman wajib ke atas setiap umat Islam secara individu.
Justeru,
di ketika tiadanya arahan rasmi dari kepimpinan sesebuah negara umat
Islam, tindakan melakukan boikot tersebut adalah tergolong dari tindakan
yang 'digalakkan' sahaja serta mendapat pahala sudah tentu bagi sesiapa
yang melakukannya dengan niat yang betul. Iaitu mengutamakan barangan
buatan umat Islam dan peniaga Islam disamping 'mendenda' syarikat milik
Yahudi. Bagaimanapun, dari sudut hukum adalah tidak haram makan di
McDonald, KFC dan membeli barangan harian dari mana-mana kedai dan
pasaraya milik bukan Islam selagi mana barangan itu mempunyai tanda
'Halal' JAKIM dan yang diiktiraf serta belum tamat tempohya.
Dalil keutamaan ini antaranya adalah :-
جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُم
Ertinya
: "Berjihadlah kamu menentang orang musryikin itu dengan harta kamu,
dan diri kamu serta lidah kamu" ( Riwayat Abu Daud, no 2504, 3/10 ;
Albani : Sohih )
Perbezaan & Perkembangan Baru
Cuma,
di zaman kewujudan jemaah-jemaah Islam yang pelbagai di dalam negara
Malaysia, pada hemat saya, sekiranya anda seorang yang komit dan telah
memberikan satu 'bai'ah' atau janji setia dengan kepimpinan persatuan
anda seperti ABIM, JIM, PAS, TABLIGH, HIZB TAHRIR, PPIM atau lainnya,
dan mereka mewajibkan ahli mereka agar boikot. Tatkala itu mungkin boleh
diperbincangkan hukumnya samada telah menjadi wajib ke atas ahli mereka
atau tidak. Saya tidak berhasrat untuk membincangkannya di sini kerana
ia akan memanjangkan tulisan ini. Mungkin ia lebih elok ditulis oleh
tokoh-tokoh pimpinan persatuan dan jemaah tadi sendiri.
b- Syarikat
tersebut mendedahkan secara terus terang dengan hebahan rasmi bahawa
mereka memperuntukkan keuntungan mereka bagi menyokong serangan Yahudi
ke atas negara umat Islam.
Ia
seperti yang dilakukan oleh Starbuck dan lain-lain. Dan pendedahan ini
mestilah jelas dan bukannya khabar angin tanpa hitam putih. Tatkala itu
ia sudah termasuk alam hukum menjual senjata kepada tentera musuh yang
menyerang Islam yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab
al-Majmu sebagai haram secara sepakat ulama.
Syarat Sebelum Sebaran
Perlu
diingat, selagi tiada edaran khusus, specifik dan rasmi oleh syarikat
terbabit yang menyatakan mereka menyokong dan membantu serangan atas
nama syarikat, selagi itu hukum asal iaitu harus berurusniaga dengan
syarikat itu akan tetap terpakai.
Sekadar
salah seorang pemegang saham bertindak sendirian membantu pembinaan
kuil, atau membantu serangan oleh Yahudi juga belum cukup kuat untuk
mengubah hukum harus tadi kepada haram. Ini kerana ia adalah tindakan
peribadi salah seorang pemegang saham sahaja dan bukannya polisi sebuah
syarikat itu.
Jika
sekadar maklumat tidak rasmi dan khabar angin sahaja yang menyebut
kaitan syarikat dengan gerakan ganas Yahudi. Tatkala itu, kaedah fiqh
ini masih terpakai :-
أن اليقين لا يزال بالشك
Ertinya
: Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu syak ( iaitu
tidakpasti kebenarannya) ( Al-Majmu, Al-Nawawi, 1/266 )
Perlu
difahami hukum asal harus berurusniaga dan membeli dari bukan Islam dan
Yahudi adalah termasuk dalam bab yakin, ia tidak akan tergugat hanya
dengan khabar-khabar angin penglibatan mereka dalam aktiviti serangan ke
atas Islam. Keyakinan asal tadi hanya akan berubah bila dua sebab yang
disebut di atas muncul. Wallahu'alam.
Kesimpulan umum :
Harus
jual beli, guna khidmat dan makan di McDonald, KFC, TESCO, JUSCO,
MAXIS, INTEL dan lain-lain produk walauapun berasal dari Yahudi atau
Non-Muslim selagi mana : -
a) produk mereka disahkan bersih dan halal oleh JAKIM ( jika di Malaysia) serta tempoh lesen masih hidup,
b) cara transaksi dan urusniaga yang dibuat adalah bertepatan dengan Islam,
c)
tiada sebarang perintah oleh kerajaan yang berwajib untuk memboikot
mereka bagi mencapai sesuatu maslahat kebaikan untuk Islam,
d)
tiada sebarang bukti secara bertulis dan penghebahan rasmi syarikat
bahawa mereka membantu dan menyumbang khas kepada serangan ke atas
Islam, yang mana ia dibuat atas nama syarikat dan bukan salah seorang
individu dalam syarikat sahaja.
Walaubagaimanapun,
mendapat pahala bagi sesiapa yang melakukan boikot terhadap mana-mana
barangan atau syarikat didasari oleh keyakinannya terhadap hasil
kajiannya sendiri yang mendapati penglibatan yang tidak sihat tadi itu
ada pada syarikat atau mana-mana pengeluar barangan. Tatkala itu, boikot
adalah wajib ke atas dirinya sahaja dan digalakkan bagi sesiapa yang
yakin dengan info yang dikeluarkannya.
Digalakkan
juga umat Islam mengutamakan sayarikat Islam dan barangan keluaran
Islam bagi membantu peningkatan ekonomi umat Islam. Ia juga adalah salah
satu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Saudi. Wallahu'alam.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
29 Rejab 1428 H ( 13 Ogos 2007 )
0 comments:
Catat Ulasan