Syiar
Islam direndah-rendahkan walaupun hanya berkuasa dalam premis yang
terhad iaitu sebuah sekolah. Mereka telah berani dengan
sewenang-wenangnya mengambil tindakan ekstrim mengugut dan
mendiskriminasi seorang muslim yang bekerja di premis tersebut.
Yang
terbaru seorang guru muallaf telah diugut keselamatannya kerana beliau
hanya menggunakan hak peribadinya sebagai seorang muslim untuk
mengamalkan amalan agamanya sendiri tanpa menyakiti dan menghina bangsa
lain.
Choy
Yi San (Cikgu Choy), 25 tahun, berasal dari Seremban. Beliau merupakan
anak kedua daripada dua orang adik-beradik. Beliau memeluk agama Islam
ketika usianya 23 tahun. Pada mulanya, Cikgu Choy tidak bertudung kerana
belum bersedia untuk mendedahkan keislamannya kepada keluarga dan
rakan-rakannya.
Pada
pagi Ahad 19 Januari, Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru), sebuah
agensi di bawah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menziarahi Cikgu
Choy yang menetap sementara di rumah keluarga angkatnya di Kota Tinggi
untuk mendengar sendiri kisah yang dilalui oleh guru muda itu.
Rombongan
disambut dengan ceria oleh Cikgu Choy dan keluarga angkatnya. Dalam
pertemuan ringkas itu, kami mendengar luahan hati Cikgu Choy berkenaan
kesnya yang kurang mendapat perhatian daripada pemimpin politik sama ada
kerajaan atau pembangkang.
Beliau
memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
(SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi pada awal tahun 2013 selepas menamatkan
pengajian dalam bidang pendidikan di sebuah institut perguruan.
AZAM BARU 2014
Selepas
setahun mengajar, beliau bertekad memakai tudung di sekolah sebagai
salah satu azam di tahun baharu. Identiti baru sebagai muslimah sejati
yang bertudung dan menutup aurat telah lama tersemat di hati sejak
memeluk agama Islam.
Hari
Rabu, 1 Januari yang merupakan hari pertama persekolahan sesi 2014
adalah hari pertama beliau bertudung di sekolah. Kemunculan beliau
bertudung ternyata tidak disenangi oleh pihak pentadbiran sekolah.
Beliau telah menerima jelingan sinis daripada daripada beberapa orang
termasuk Guru Besar, Chiew Swee Tuan.
Namun, Cikgu Choy meneruskan tekadnya bertudung. Pada hari berikutnya, beliau menerima reaksi yang sama.
Pada
6 Januari, Cikgu Choy ke pejabat Guru Besar untuk membincangkan agihan
tugas guru kerana beliau dilantik sebagai PK Pentadbiran lantikan
dalaman. Guru Besar mengambil kesempatan pertemuan itu untuk menyoal
dan memberi “nasihat” mengenai keIslaman Cikgu Choy. Antara “nasihat”
beliau ialah masih berpeluang lagi untuk kembali ke agama asal, masih
banyak pilihan lagi, kenapa hendak mengurung diri dalam agama Islam.
Tetapi Cikgu Choy tidak langsung mengendahkan “nasihat” itu.
Pada
7 Januari, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Pang telah
datang ke sekolah untuk memeriksa perkembangan pertukaran jubin Bilik
Sumber Sekolah. Beliau tersempak dengan Cikgu Choy dan bersapa seperti
biasa walaupun agak terkejut dengan penampilan Cikgu Choy yang
bertudung, kemudian beliau ke pejabat Guru Besar.
DIUGUT BUNUH
Tidak
lama kemudian, Guru Besar meminta Cikgu Choy ke pejabatnya. Pada awal
pertemuan, Encik Pang memberi pandangan negatifnya mengenai keIslaman
Cikgu Choy. Keadaan semakin tegang dan serius apabila Cikgu Choy
menerima 3 ugutan dari Encik Pang yang melibatkan maruah dan keselamatan
Cikgu Choy jika tidak membuka tudung semasa bertugas.
Pertama: Jika beliau tidak membuka tudung, beliau dan keluarganya akan dimalukan di sekolah.
Kedua:
Jika beliau masih tidak membuka tudung, pihak sekolah akan memanggil
wartawan lalu beliau dan keluarganya akan dimalukan di hadapan wakil
media itu dan disiarkan di akhbar.
Ketiga:
Jika beliau masih tidak membuka tudung, En Phang akan menembak Cikgu
Choy dan kemudian En Phang akan menembak mati dirinya sendiri.
Pada
petang 7 Januari itu juga, Cikgu Choy diminta hadir ke Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD) oleh seorang Pegawai PPD. Maka Cikgu Choy
berniat untuk berjumpa dengan Bapa Angkat Sekolah untuk mendapat
pendapat beliau terhadap masalah yang baru ditimpa itu selepas
perjumpaan dengan Pegawai PPD tersebut. Tiba sahaja di PPD, baru Cikgu
Choy mengetahui bahawa pegawai PPD tersebut ingin memberi zakat peribadi
kepada beliau. Pegawai PPD tersebut bertanya sama ada Cikgu Choy
mempunyai masalah setelah memeluk agama Islam. Cikgu Choy menyatakan
baru timbul masalah dengan penduduk Telok Sengat. Beliau menggunakan
istilah “penduduk Kampung” kerana masih tidak tahu mengajukan kepada
siapa. Pegawai PPD tersebut mencadangkan untuk terus berjumpa dengan
Timbalan PPD Kota Tinggi.
Dengan
segera, Cikgu Choy berjumpa dengan Timbalan PPD dan memberitahu masalah
yang dialami itu untuk mendapat pandangan Tuan Timbalan PPD.
Cikgu
Choy dinasihati untuk membuat laporan polis kerana ugutan bunuh bukan
sesuatu yang boleh dipandang remeh. Beliau kemudiannya membuat satu
laporan polis di Balai Polis Teluk Sengat.
Selepas
laporan polis dibuat, pihak PPD bertindak segera dengan menukar Cikgu
Choy ke sekolah lain di Kota Tinggi atas alasan keselamatan.
Walaubagaimanapun,
ugutan yang diterima tidak melemahkan semangat Cikgu Choy untuk
meneruskan hidup sebagai seorang muslimah. Beliau tidak merasa gusar
dengan peristiwa yang berlaku, bahkan merasa bertuah kerana apa yang
berlaku ini telah menjadikan keislamannya bukan lagi rahsia. Apa yang
beliau bimbangkan bahawa tudungnya perlu dibuka telah dapat
diatasi. Beliau masih boleh memakai tudung walaupun diugut.
Menurut
Cikgu Choy lagi, kes ini bukan isu terpencil di sekolah tersebut bahkan
terdapat beberapa orang murid perempuan beragama Islam di sekolah itu
yang dilarang bertudung oleh pihak sekolah. Perkara ini bercanggah
dengan kenyataan Guru Besar yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang
mengatakan beliau menghormati pemakaian tudung oleh orang Islam.
Suatu
yang dikesali ialah tiada tindakan tegas yang diambil oleh pihak
berkuasa terhadap pihak pengurusan sekolah terutamanya En Phang.
Meskipun siasatan polis sedang dijalankan, pihak berkuasa perlu
mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan sekolah kerana pihak sekolah
telah menafikan hak asasi seorang muslimah bahkan melakukan tindakan
ekstrim dengan pelbagai ugutan memalukan dan mengancam keselamatan.
Apakah
dengan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa ini bermakna
memberi laluan luas kepada mana-mana institusi bukan Islam untuk
melakukan pelbagai diskriminasi terhadap pekerja Islam yang bekerja di
bawah seliaan mereka?
Adakah tudung seorang muslimah telah dianggap sebagai mengancam keselamatan di sekolah?
Siti Khadijah Salleh
Wartawan ISMA Johor
0 comments:
Catat Ulasan