Penulis: Nurul Adni Adnan
Editor: Abi Aisyah
Antara topik yang sering dikongsikan adalah – membuat pilihan tentang jodoh.
Pilihan itu terasa lebih sukar kerana kedua-dua calon itu kelihatan baik dan punya kelebihan masing-masing.
Juga diketahui ada kelemahan masing-masing, yang membuatkan kita amat berhati-hati bercampur bimbang membuat pilihan.
Teman-teman dan adik-adik yang dikasihi, ambillah masa yang sewajarnya untuk ta’aruf dan bangunkan komunikasi samada secara direct atau melalui orang tengah.
Adalah
penting usaha kita sebagai seorang insan untuk merisik, menyiasat,
menyoal selidik dan segala bentuk pencarian maklumat dan latar belakang
insan yang kita cenderung menerimanya sebagai teman hidup.
Bukan
mencari kesempurnaan, bukan menyelongkar keaiban insan lain – namun
penyiasatan dan pemerhatian kita kepada bakal pendamping adalah
persediaan penting.
Ia menjadi pembuka mata untuk kita membina rumahtangga dengan lapang dada dan bersedia dengan kemungkinan yang tiba.
Sebaiknya
penyelidikan kita itu, kita musyawarahkan dengan ibu dan ayah atau
orang-orang yang amanah serta berilmu. Kita bukan meminta orang lain
membuat keputusan, namun pandangan mereka akan menjadi extra ’mata’ dan ‘telinga’ untuk kita memilih teman hidup dengan teliti.
Jika
kelak kita telah membuat keputusan memilih samada si A atau si B, ada
perkara-perkara penting pula untuk DIRI KITA sendiri fokus dan lakukan.
Usah bermain-main dengan keraguan perasaan…
Akankah lelaki ini kelak membahagiakan diriku?
Adakah lelaki ini akan menjadi pemimpin yang baik untukku?
Akan tulus ikhlaskah cinta kasihnya padaku?
Adakah lelaki ini kelak akan menghormati dan menghargaiku sebagai seorang isteri?
Bagaimana kelak dia akan melayaniku sebagai isteri, akan santun dan baikkah pekertinya?
Adakah kelak lelaki ini akan boleh menyesuaikan diri dan berbuat baik dengan ahli keluargaku?
Adakah hati ini akan bahagia menjadi isteri kedua, terlibat dengan poligami?
Sesungguhnya
persoalan-persoalan ini adalah penting bukan untuk si dia bakal suami,
tapi manfaatkanlah persoalan ini untuk perbaikan diri kita dalam menjadi
seorang isteri.
Jika jawapannya tidak seperti yang kita
jangkakan dan harapkan, bila-bila masa sahaja alam pernikahan akan
mengundang kecewa dan gundah berpanjangan.
Sebaliknya, marilah bertanya pada diri…
Wahai diri, adakah keperibadian seperti diri ku ini kelak akan membahagiakan hati seorang suami?
Adakah karakter diriku ini membuatkan suamiku tenang dan senang dengan diriku sebagai orang/ isteri yang dipimpin?
Mampuku diriku tulus mencintai suami kerana Allah, bersabar dan berhikmah dengan seribu satu kelemahannya?
Mampukah
kelak diriku menghormati keputusan dan tindakan suamiku sebagai
pemimpin, walau ia berbeza dengan kehendak dan rasa hatiku?
Mampukah diriku menjadi isteri yang merasa cukup (qanaah) dan menghargai pemberian dan kebaikan suami setulusnya?
Kelak
adakah diriku mampu untuk memilih akhlak seorang isteri yang penuh
ketaqwaan sewaktu hati dicuit ketidakpuasan dan kemarahan jua kesedihan?
Harus
bagaimana nanti untukku menyesuaikan diri jika ibu bapa mertua dan ipar
duai tidak serasi cara hidup dan pemikiran mereka denganku?
Seandainya
diriku menjadi isteri kedua atau ketiga, apakah sumbangan dan perananku
untuk menambah kebahagiaan suami dan keluarganya yang sedia ada?
Nah.. ayuh kita bersama menjawab persoalan ini, dan mengubah diri menjadi lebih baik.
Ya,
kita takut tersalah pilih dalam membuat keputusan untuk
pernikahan,namun percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang
melakukan kebaikan, yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Sikap,
karakter diri, dan penghayatan Islam pada diri kita sendiri insya-Allah
kelak akan bawa pengaruh yang besar pada suami dan rumahtangga.
Saat ini, berusahalah memilih calon suami yang beriman, usah keterlaluan memikirkan masa depan yang kita tak ada kawalan.
Isteri
yang baik, tidak semestinya memiliki suami yang baik, kerana pernikahan
adalah ruang ujian, teman hidup kita boleh saja menjadi ujian getir
dalam hidup yang sebentar ini.
Suami akan berubah – cepat atau
lambat, namun moga sifat dan sikap kita yang penuh nilai-nilai kebaikan
mampu menjemput suami dan anak anak berubah kepada jalan yang dicintai
tuhan.
0 comments:
Catat Ulasan