Kos misi mencari dan siasatan ke atas
pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu bakal
menjadi misi paling mahal dalam sejarah penerbangan, menurut angka yang
dianggarkan oleh Fairfax Media.
Selepas empat minggu, ia sudahpun
melepasi kos misi mencari pesawat Air France AF447 yang sebelum ini
memegang rekod paling mahal dengan nilai perbelanjaan mencecah $50 juta
(RM163.98).
Kos perbelanjaan tinggi ini melibatkan
kapal laut, satelit, kapal terbang dan kapal selam yang dihantar ke Laut
China Selatan dan Selat Melaka dan selepas itu ke Lautan Hindi pula.
Memetik laporan The Sydney Morning
Herald, kos kegunaan kapal HMAS Success milik Australia yang digunakan
dua minggu lepas berjumlah $510,400 (RM1.67 juta) sehari. Kos HMAS
Toowoomba pula berjumlah $352,640 (RM1.16 juta) termasuk kos minyak dan
kru untuk satu hari. Bila kos kedua-dua kapal ditambah, ia mencecah
$9.28 juta (RM30.43 juta) untuk berada di Lautan Hindi.
Laporan yang sama turut berkata bahawa
pihak Amerika Syarikat telah berbelanja sebanyak $3.06 juta (RM10.04
juta) untuk kegunaan pesawat dan kapal mereka. Tentera Amerika Syarikat
turut berbelanja sebanyak $3.62 juta (RM11.87 juta) bagi kegunaan 'Towed
Pinger Locator' (TPL)' untuk mencari kotak hitam pesawat MH370.
Vietnam pula telah berbelanja $8.07 juta (RM26.47 juta) bagi penggunaan lapan pesawat mereka.
Akhbar berkenaan melaporkan bahawa kos
lain pula termasuk wang yang diberi oleh kerajaan Malaysia sebanyak
$5000 (RM16397.50) kepada ahli keluarga penumpang (bukan kru) dan jumlah
keseluruhan menjadi $1.16 juta (RM3.8 juta). Jumlah boleh mencecah
$49.18 juta (RM161.29 juta) namun ia bukan angka keseluruhan kerana ia
melibatkan 26 negara.
Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan
Agensi Bersama, Angus Houston berkata beliau akan memberikan angka
sebenar dalam masa terdekat. “Ia memerlukan wang yang banyak,” jelas
beliau.
0 comments:
Catat Ulasan